Guna Bahasa Mandarin langkah terbelakang - Utusan Malaysia

Guna Bahasa Mandarin langkah terbelakang

Amiruddin Md. Ali Hanafiah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahasa Mandarin dikatakan sudah lama diwujudkan sejak 2015, sebaliknya ia adalah langkah terkebelakang kerana seolah-olah menafikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan kerajaan.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, SPRM sebagai sebuah agensi kerajaan wajib menggunakan Bahasa Melayu di dalam segala urusan rasmi termasuk pada kandungan portal.

“Oleh itu mereka wajar guna Bahasa Melayu dan bukannya Mandarin. Jika tujuan mereka untuk memberi pemahaman lebih lanjut tentang amalan rasuah, sebagai rakyat Malaysia adalah wajib untuk mengetahui Bahasa Kebangsaan kerana ini merupakan identiti kita.

“Tidak timbul soal sama ada tidak faham Bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa rasmi dan semua rakyat perlu boleh memahaminya dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

SPRM baru-baru ini melancarkan portal Bahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina untuk mendapatkan pendedahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya tersebut.

Sebaliknya Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd. Jamil menjelaskan portal itu bukan versi baharu tetapi telah diwujudkan sejak Disember 2015 dengan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan telah dilakukan terhadap beberapa kandungan.

Sehubungan itu, Amiruddin menggesa SPRM untuk serta-merta menutup portal itu kerana ia bertentangan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.

“Hendak buat apa portal dalam bahasa lain apatah lagi membabitkan agensi kerajaan, jadi wajib guna Bahasa Melayu.

“Jika bahasa rasmi, gunalah Bahasa Melayu dan bukannya bahasa lain,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN