Dua tekong darat dicekup seludup masuk 28 PATI - Utusan Malaysia

Dua tekong darat dicekup seludup masuk 28 PATI

DUA pemandu teksi yang merupakan tekong darat dicekup di pesisiran pantai Sungai Apong di sini semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Usaha dua tekong darat untuk menyeludup masuk 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini gagal membuahkan hasil apabila mereka dicekup di sekitar pesisiran pantai Sungai Apong di sini, semalam.

Dua lelaki warga Indonesia berusia 50 dan 59 tahun yang memiliki status penduduk tetap (PR) itu dipercayai bertindak sebagai ‘pengangkut’ semua warga asing berkenaan yang masuk menerusi laluan laut.

Aktiviti haram itu bagaimanapun berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam
yang menahan suspek bersama 28 warga Indonesia lain, kira-kira pukul 6 pagi.

Kesemua PATI itu melibatkan masing-masing 14 lelaki dan wanita berusia 20 hingga 53 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, penahanan itu dilakukan menerusi Op Benteng Covid-19 yang dijalankan di sekitar kawasan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati semua PATI ini masuk melalui laluan yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot pom-pom.

“Mereka kemudiannya dilepaskan di pesisir pantai dan dua tekong darat itu menjadi sebagai pengangkut warga asing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas dua kenderaan termasuk sebuah teksi dan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM35,000.

“Semua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Air Tawar untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1963,” ujarnya.

Orang ramai supaya bekerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang seumpama itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya