PONTIAN : Dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh sokongan ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu merupakan satu kenyataan untuk mengelirukan rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan bebas bersuara, namun sebarang kenyataan perlu berlandaskan fakta.
Beliau menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kenyataan seumpama itu perlu disertakan dengan bukti kukuh dan bukannya sekadar andaian semata-mata.
“Negara ini mempunyai undang-undang dan sewajarnya digunakan oleh beliau (Anwar) sebelum membuat pengumuman sedemikian.
“Semua harus menggunakan saluran yang betul dan bersikap matang sebelum mengambil tindakan boleh mencemaskan semua pihak termasuk para pelabur,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian Berhad di sini hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh dan beliau masih Perdana Menteri yang sah.
Perkara itu susulan dakwaan Anwar yang kononnya beliau mempunyai majoriti kukuh untuk menubuhkan kerajaan.
Tambah Hasni, beliau berharap semua pihak harus memberikan masa dan peluang kepada Perdana Menteri untuk membantu rakyat melalui pelbagai pakej rangsangan bagi meringankan beban kehidupan.
“Rakyat ketika ini sedang berdepan dengan cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat kesan Covid-19 yang belum tentu berakhir, tiba-tiba dikejutkan dengan kenyataan itu,” katanya.
Sementara itu, Hasni yang juga Menteri Besar meminta Koperasi Nelayan Pontian Berhad menceburi bidang baharu yang mejanjikan pulangan ekonomi yang lebih baik.
Katanya, mereka tidak boleh bergantung kepada aktiviti penyewaan bangunan atau perkhidmatan, sebaliknya perlu beralih kepada skala kegiatan ekonomi yang tidak diceburi sebelum ini.
“Seiring dengan perkembangan semasa, koperasi boleh terlibat dengan aktiviti atau perusahaan yang memberikan pekerjaan dan pendapatan sampingan kepada nelayan tanpa bergantung kepada hasil tangkapan semata-mata,” ujarnya.-UTUSAN