'Beruntungnya jika melanggar undang-undang di Malaysia' - Utusan Malaysia

‘Beruntungnya jika melanggar undang-undang di Malaysia’

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menghentikan amalan memberikan diskaun bagi saman kesalahan jalan raya yang tertunggak.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, amalan bermusim itu memberikan gambaran kepada pengguna kenderaan yang mana mereka boleh terus melanggar undang-undang dan kemudian mendapat ganjaran melalui pemberian diskaun yang besar.

Sedangkan, menurut beliau, matlamat utama denda itu dikenakan adalah sebagai langkah mencegah kesalahan jalan raya dan antara sebab mengapa hukuman penjara ditambah jika kesalahan berulang.

‘Tetapi di Malaysia pemberian diskaun turut menggalakkan orang ramai mengumpulkan denda mereka dan menunggu sehingga terdapat ‘tawaran bermusim’ yang mana mereka yang melanggar peraturan lalulintas boleh menjimatkan wang mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohideen turut mengambil contoh sebuah syarikat milik persendirian yang membayar saman tertunggak berjumlah RM500,000 selepas diberi diskaun 70 peratus berikutan kemurahan hati kerajaan.

Kata beliau, sekiranya 30 peratus daripada saman berkenaan berjumlah setengah juta, ini bermakna jumlah sebenar saman yang dikenakan adalah RM1.7 juta.

“Katakanlah setiap saman bernilai RM300, ini bermakna syarikat itu telah mengumpulkan sebanyak 5,500 saman.

“Persoalannya, sudah berapa lama syarikat terbabit tidak membayar samannya atau berapa banyak kenderaan yang dimilikinya? 

“Jika syarikat itu belum melunaskannya, bagaimana kenderaan miliknya dapat memperbaharui cukai jalan dan insurans?” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya tidak melemahkan langkah undang-undang yang menghukum pengguna kenderaan yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menyenangkan mereka. 

“Jika mereka tidak membayar denda yang dikenakan, mereka sudah pun melanggar undang-undang, justeru perlu dihukum.

“Tambahan pula, pengguna kenderaan yang secara terang-terangan melanggar undang-undang perlu dianggap berbahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN