Bekas penolong pengarah SME. Corp Terengganu didakwa dapatkan suapan RM29,700 - Utusan Malaysia

Bekas penolong pengarah SME. Corp Terengganu didakwa dapatkan suapan RM29,700

TERTUDUH, Halimah Musa Brahim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini hari ini kerana mendapatkan suapan berjumlah RM29,700 dari 2015 hingga 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas penolong pengarah SME Corp. Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan mendapatkan suapan berjumlah RM29,700.

Tertuduh, Halimah Musa Brahim, 42, yang kini bertugas sebagai penolong pegawai ehwal ekonomi di ibu pejabat agensi itu di Kuala Lumpur membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat. 

Mengikut kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan  dengan menyokong pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat SME Corp. Terengganu. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Oktober 2015 hingga 12 Ogos 2018.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fadhly Yaacob. 

Mahkamah menetapkan 1 November depan sebagai sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya