SUNGAI PETANI: Seramai 609 buah keluarga di Zon Melor di Ambangan Heights, Amanjaya di sini yang masih menjalani perintah kuarantin susulan wabak Covid-19 bagi Kluster Tawar menerima sumbangan ikan sejuk beku, semalam.
Bantuan dua ekor ikan selar saiz besar dan dua kepala ikan salmon setiap keluarga itu disumbangkan oleh sebuah syarikat pembekal ikan yang berpengkalan di Bukit Kayu Hitam dekat sini, KMC Coldstorage Warehousing Sdn. Bhd.
Pengagihan sumbangan akan dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari rumah ke rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, pihak swasta dialu-alukan untuk menyumbang bekalan makanan mentah kepada penduduk di Zon Melor yang masih menjalani perintah kuarantin.
“Semua pihak yang mahu memberikan sumbangan perlu melalui pusat pengumpulan yang diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda bagi memastikan sumbangan sampai kepada penduduk terlibat.
“Kita juga tidak mahu pemberi sumbangan masuk dan terus membuat agihan di zon tersebut bagi mengelak penularan virus Covid-19,” katanya ketika ditemui di pusat pengumpulan bantuan JKM Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Beliau berkata, penduduk yang mempunyai masalah termasuk daripada segi bekalan makanan atau keperluan lain diminta menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Balai Polis Komuniti di sini.
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Zon Melor yang sepatutnya tamat pada 13 September lalu dilanjutkan sehingga 27 September berikutan terdapat kes baharu Covid-19 di kawasan itu.-UTUSAN