B40 sasaran sebar dakyah liberal - Utusan Malaysia

B40 sasaran sebar dakyah liberal

HASNI Mohammad melancarkan Kitab Kesultanan Islam Johor dalam Hari Terbuka Hal Ehwal Islam Peringkat Negeri di Dewan Raya Bandar Putra, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KULAI: Selain media sosial, fahaman liberal kini semakin agresif menyebarkan dakyah mereka di negeri ini dengan kali ini menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi pemerhatian dan pemantauan lanjut pada baru-baru ini.

“Oleh itu, saya telah mengadakan satu mesyuarat khas pada tempoh hari untuk membincangkan masalah penyebaran dakyah ini di Johor.

“Insya-Allah kita akan mengadakan perjumpaan lagi bersama Cawangan Khas Polis Johor dalam membincangkan langkah lanjut yang perlu dibuat bagi mengekang fahaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Hari Terbuka Hal Ehwal Islam Peringkat Negeri di Dewan Raya Bandar Putra di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan usaha penularan fahaman liberal yang kini semakin berkembang agresif dalam media sosial khususnya di Johor.

Ketika ditanya mengenai tahap keseriusan perkara itu, Tosrin memaklumkan, keadaan masih terkawal namun pihaknya sentiasa memantau tindak-tanduk kumpulan liberal pada setiap masa.

Sementara itu, Tosrin berkata, Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan Jabatan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertujuan memperkukuhkan fahaman tersebut kepada rakyat Johor.

Katanya, usaha itu bakal terlaksana pada Januari 2021 dan dianggotai seorang wakil setiap masjid dan surau dari seluruh negeri ini.

“Malah pada tahun depan, kita akan melancarkan modul akidah dan pusat pemulihan akidah bagi memperkasa pegangan umat Islam selaras Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran As-Asyairah dan Al-Maturidiah,” katanya.

Pada majlis itu, Hasni turut melancarkan buku Kitab Kesultanan Islam Johor yang akan menjadi subjek bahan pengajaran di sekolah agama kerajaan Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya