ALOR SETAR: Suasana lengang mula menyelubungi bandar ini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) berkuat kuasa kelmarin hingga 25 September ini.
Beberapa lokasi tumpuan penduduk di bandar ini seperti Kompleks Pekan Rabu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Bangunan Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Menara Alor Setar di sini sunyi selepas ditutup.
Sementara itu, pusat beli-belah, Aman Central di sini pula tidak ramai pengunjung dengan beberapa premis perniagaan sahaja yang dibuka.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati jumlah kenderaan didapati berkurangan berbanding pada sebelum ini apabila kebanyakan penduduk bimbang keluar rumah berikutan penularan Covid-19 bagi Kluster Sungai dan Telaga.
Bagaimanapun, beberapa buah pasar raya dan premis perniagaan dibuka untuk memberi kemudahan orang ramai membeli barangan keperluan tetapi dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Restoran yang dibuka pula menerima pelanggan yang ingin membungkus makanan sahaja.
Penduduk terutamanya ketua keluarga didapati mengambil kesempatan membeli barangan keperluan pada sebelah pagi terutama yang tidak sempat melakukannya kelmarin.
Seorang penduduk, Aishah Ramli, 47, dari Teluk Wan Jah di sini berkata, jumlah kereta agak banyak pada sebelah pagi tetapi berkurangan sejak tengah hari.
“Keadaan itu berlaku mungkin sebelah pagi penduduk setempat keluar membeli-belah tetapi selepas ini semakin lengang apabila orang dari luar daerah ini tidak dapat masuk ke kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi penduduk, Yusoff Amin, 42, dari Mergong pula berkata, kebanyakan penduduk telah mempunyai pengalaman mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Penduduk didapati tidak lagi keluar rumah sesuka hati kecuali mempunyai urusan penting sahaja.
“Kebanyakan penduduk yang keluar rumah itu pula merupakan ketua keluarga,” katanya. – UTUSAN