JOHOR BAHRU: Sebanyak 6,474 kilogram (KG) sisa sampah sarap berjaya dikutip SWM Environment Sdn. Bhd. menerusi program World Cleanup Day 2020 yang dijalankan pihaknya di 11 lokasi seluruh negeri baru-baru ini.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, program itu dijayakan oleh seramai 1,400 sukarelawan yang melibatkan 53 pelbagai organisasi.
Katanya, tujuan utama program itu adalah untuk menjayakan matlamat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih.
“Program ini disertai sukarelawan daripada pelbagai latar belakang antaranya pelajar institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, agensi awam serta swasta.
“Sukarelawan turut diberi taklimat tentang pengurusan sisa pepejal secara berhemah, pembudayaan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca serta pengenalan program kitar semula berganjaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga melibatkan lokasi di Pantai Senibong Johor Bahru, Pantai Seri Menanti Muar, Gunung Lambak Kluang dan Gunung Pulai Kulai.
Tambah Mohd. Norlisam lagi, SWM Environment turut mengadakan aktiviti pembersihan pantai secara serentak yang mendapat kerjasama dan sokongan syarikat Coca-Cola Bottlers Malaysia Sdn. Bhd. (Coca-Cola) yang bertempat di Pantai Teluk Gorek, Mersing dan Pantai Perpat, Batu Pahat.
“Aktiviti pembersihan ini bertemakan Sinergi Untuk Ekologi Bersama dengan matlamat memulihara hidupan marin dan seterusnya mengekalkan kelestarian ekosistem demi kesinambungan generasi masa hadapan,” tambahnya. -UTUSAN