537 ketulan ganja bernilai RM1.6 juta ditemukan terapung - Utusan Malaysia

537 ketulan ganja bernilai RM1.6 juta ditemukan terapung

MOHD. Zawawi (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian ketulan mampat ganja yang ditemukan terapung di perairan Langkawi,Kedah pada Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 537 ketulan ganja mampat bernilai RM1.6 juta yang ditemukan terapung di perairan Pulau Chorong di sini, Isnin lalu.

Kesemua ketulan ganja itu ditemukan terapung di perairan berkenaan dan dipercayai cuba diseludup dari negara jiran ke Pulau Pinang sebelum dicampak ke laut oleh penjenayah.

Bagaimanapun, ketulan ganja itu ditemukan sekumpulan nelayan pada pukul 9.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan ganja itu adalah yang terbesar dilakukan Maritim Malaysia di perairan Langkawi dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah itu beralih menggunakan jalan laut sebagai modus operandi memandangkan pintu sempadan jalan darat di sempadan Malaysia dan Thailand belum dibuka berikutan pendemik Covid-19.

“Penjenayah terbabit dipercayai membawa ganja dengan bot kemudian dicampak ke dalam laut sebelum dikutip semula oleh bot lain yang tiba kemudian menjadi taktik terbaharu sindiket pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Zawawi memberitahu, tiada tangkapan dilakukan dalam rampasan ganja itu.

Tambahnya, sepasukan anggota yang sedang melaksanakan Ops Eagle Eye digerakkan ke lokasi sebelum menemui dadah terbabit terapung kira-kira 6.7 batu nautika di Tenggara Pulau Chorong.

“Ketulan ganja mampat dengan anggaran berat sekilogram setiap satu itu, diikat berbentuk kotak dan 12 daripadanya dibalut kemas dengan plastik hitam, manakala dua plastik putih,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu turut dibantu Sahabat Maritim dan komuniti nelayan yang bekerjasama rapat menyalurkan maklumat aktiviti jenayah laut .

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya