PUTRAJAYA : Sebanyak 516 kes keracunan makanan dilaporkan di negara ini pada tahun lalu dengan 150 daripadanya dilaporkan di sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus daripada 500 kes bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Katanya, sebanyak 66 kes keracunan makanan di sekolah bukan Kementerian Pendidikan, institusi (132 kes) dan premis luar (18 kes).
“Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan pengendali yang boleh menimbulkan keracunan makanan akan diambil tindakan.
“Selain itu, setiap pengendali mesti menjalani kursus penyediaan makanan selain mendapatkan suntikan tifoid,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 dan Garis Panduan Pengiklanan Makanan di sini hari ini.
Adham berkata, pihaknya juga turut menyiasat sekiranya bekalan bahan makanan ke sekolah melebihi tarikh luput memandangkan ia sudah menjadi bahan tercemar.
“Kalau makanan melebihi tarikh luput khususnya makanan dalam tin memang kita jaga.
“Sebab itu, kita pastikan selain mengendalikan makanan segar, kita menyiasat juga sama ada bekalan bahan melebihi tarikh luput sebab ia bahan tercemar kalau dah luput,” katanya.
Dalam pada itu, Adham mendedahkan terdapat 853 sampel makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Katanya, jumlah itu adalah empat peratus daripada 20,492 sampel makanan dan bahan mentah termasuk daging, ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan hasil pemantauan kementerian dari 2018 hingga Jun lalu.
“Kita dapati sampel makanan ini ada bahan kimia seperti nitrofurantoin yang boleh jadikan ikan misalnya kelihatan besar dan segar selain formalin untuk memelihara kandungan.-UTUSAN