SUNGAI PETANI: Sebanyak 500 keluarga di Ambangan Heights, Amanjaya di sini yang menjalani perintah kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) menerima sumbangan 500 kilogram ikan kembung segar.
Ikan segar itu disumbangkan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Shahanim Mohamad Yusuff.
Shahanim berkata, sumbangan tersebut adalah tanda prihatin pihaknya kepada penduduk Ambangan Heights yang terjejas.
“Saya dimaklumkan penduduk sukar dapat bekalan barang basah dalam tempoh Temco dan sumbangan ini diharapkan dapat membantu sebahagian daripada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata beliau, bekalan ikan segar itu dibeli daripada nelayan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda di sini sebelum dibungkus dan diagihkan kepada penduduk terlibat.
Setiap rumah akan menerima satu kilogram ikan kembung.
Shahanim berkata, proses pengagihan akan diuruskan UMNO Bahagian Merbok mengikut prosedur operasi standard.
Kata beliau, usaha itu bukan sahaja dapat membantu meringankan beban penduduk Ambangan Heights, malah dapat membantu para nelayan yang berdepan dengan masalah lambakan ikan.
“Kita dapati hasil tangkapan ikan banyak ketika ini, namun tidak ramai peraih dan pemborong yang datang membeli ikan menyebabkan berlaku lambakan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda.
Shahanim pada masa sama turut berharap ada pihak lain turut tampil memberi bantuan kepada penduduk sepanjang tempoh Temco tersebut. – UTUSAN