22 warga Filipina dakwa ditipu ejen rakan senegara - Utusan Malaysia

22 warga Filipina dakwa ditipu ejen rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 22 warga Filipina mendakwa ditipu rakan senegara yang bertindak sebagai ejen atau orang tengah dalam urusan mendapatkan visa pekerja yang sah.

Mereka yang berusia antara 30-an dan 50-an, masing-masing bekerja sebagai tukang cuci, penjaga di rumah-rumah kebajikan dan pekerja di pusat hiburan keluarga berkenaan mendakwa mengalami kerugian antara RM9,000 hingga RM20,000 seorang.

Menurut Pemangku Presiden Persatuan Sokongan Komuniti Rakyat Filipina, Norlita Selgas Pranggos, 29, kesemua mangsa berurusan dengan wanita rakan senegara berusia 40-an berkenaan bagi mendapatkan visa yang sah tahun lalu berikutan visa mereka tamat pada Disember 2019.

Bagaimanapun tambahnya, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod berkenaan permohonan visa pekerja terbabit sedangkan mereka dimaklumkan oleh ejen berkenaan proses itu sudah diselesaikan.

Katanya, lebih menyedihkan apabila terdapat pekerja warga Filipina yang menjadi mangsa itu kini diburu ah long selepas terpaksa meminjam wang semata-mata untuk membayar ejen berkenaan bagi urusan tersebut.

“Sehubungan itu, pekerja ini merayu ejen berkenaan yang juga sebelum ini merupakan pemimpin persatuan berkaitan komuniti Filipina di sini memulangkan semula wang mereka supaya mereka dapat memohon visa pekerja yang sah.

“Ini kerana mereka kini hidup dalam kebimbangan sekiranya ditahan pihak berkuasa selain buntu memikirkan untuk melunaskan hutang yang dibuat bagi memohon visa berkenaan,” katanya.

Norlita ditemui pemberita selepas membuat laporan polis bersama-sama lima warga Filipina yang mendakwa menjadi mangsa ejen berkenaan di balai polis daerah Timur Laut di sini.

Menurut Norlita, setakat ini, sebanyak 14 laporan polis telah dibuat oleh mangsa sepanjang tahun ini sekali gus berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes itu segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis telah menahan ejen wanita berkenaan serta seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Pakistan bagi membantu siasatan kes itu selepas menerima laporan pertama pada Februari lalu.

Katanya, mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara pihaknya melengkapkan kertas siasatan kerana perlu mendapatkan beberapa dokumen sokongan.

“Sehingga minggu lalu, sebanyak empat laporan polis diterima berhubung kes itu dan polis telah membuka dua kertas siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

“Ketika ini kami sedang lengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya