22 premis bitcoin disyaki curi elektrik diperiksa - Utusan Malaysia

22 premis bitcoin disyaki curi elektrik diperiksa

MOHD. Elmi Anas (kanan) melihat kerja-kerja pemotongan bekalan dilakukan di sebuah premis yang disyaki terlibat dengan kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram di Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam.-UTUSAN/ ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH – Sebanyak 22 buah premis yang menjalankan operasi perlombongan bitcoin di negeri ini diperiksa selepas disyaki terlibat dengan kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram ke premis mereka.

Pemeriksaan itu dibuat menerusi satu operasi bersepadu yang diketuai Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan (JPOK) ST, Mohd. Elmi Anas berkata, dalam satu pemeriksaan yang dijalankan ke atas salah sebuah premis itu di sini, sebanyak 80 buah mesin bitcoin beserta peralatan komputer dirampas.

Katanya, siasatan awal mendapati pengusaha bitcoin itu membuat penyambungan bekalan elektrik secara terus daripada tiang TNB tanpa melalui meter yang sepatutnya.

Jelas beliau, tindakan itu menyebabkan TNB mengalami kerugian hingga mencecah RM24,000 sebulan berdasarkan pengiraan kadar penggunaan tenaga elektrik sebanyak 320 meter ampere di premis itu sahaja.

“Itu baru satu premis dan kita sendiri tidak tahu sudah berapa lama ia beroperasi. Mungkin (nilai kerugian) juga akan mencecah ratusan ribu ringgit jika lebih banyak premis melakukan perkara yang sama,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa operasi tersebut yang diperkuatkan dengan kehadiran lebih 50 anggota daripada kelima-lima agensi terbabit.

Menurut Mohd. Elmi, operasi selama dua hari bermula semalam itu dilakukan selepas satu risikan berkaitan dibuat selama dua minggu.

Dalam pada itu, Mohd Elmi memberitahu, pihaknya akan mengesyaki sesuatu premis itu terlibat dengan kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram apabila fius di kawasan mereka kerap terbakar sedangkan bil-bil elektrik yang dibayar adalah rendah.

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan kepada semua pengguna elektrik terutamanya pengusaha bitcoin ini supaya mendapatkan bekalan elektrik daripada sumber yang sah kerana jika berlaku litar pintas, tidak ada lagi perlindungan untuk mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya