BANGI : Seramai 20,000 graduan dijangka akan mendapat manfaat melalui program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – Career Advancement Programme (KPT-CAP).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, sehingga hari ini, sebanyak 140 program telah disusun dalam program kemajuan kerjaya itu melibatkan sinergi dengan lebih daripada 100 syarikat.
Katanya, langkah itu sekali gus dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi negara.
Katanya, kerajaan telah menyalurkan waran peruntukan berjumlah RM100 juta kepada KPT bagi tujuan pelaksanaan KPT-CAP itu yang akan bermula pada 16 Oktober sehingga 31 Disember ini di IPT terpilih manakala penempatan pekerjaan bermula awal Januari depan.
“Pada tahun ini dijangkakan sejumlah 300,000 graduan bakal menamatkan pengajian masing-masing. Mengambil kira impak pandemik Covid-19, KPT mengunjurkan 25 peratus atau 75,000 bakal graduan kita mungkin terjejas peluang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.
“Justeru, berdasarkan 41,161 graduan yang belum bekerja dalam tahun 2019, serta unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan seramai 116,161 graduan yang perlu diberi perhatian untuk ditingkatkan lagi kebolehpasaran mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian KPT-CAP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.
Menurut Noraini, terdapat tiga program utama yang digerakkan di bawah KPT-CAP itu iaitu pertama pemadanan dan penempatan pekerjaan kepada para graduan yang mengikuti program itu yang akan ditawarkan pekerjaan di syarikat-syarikat yang telah memberikan jaminan pekerjaan melalui letter of commitment.
Katanya, program kedua pula ialah program berterusan keusahawan iaitu program latihan yang berupaya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta dalam bidang keusahawanan sehingga berupaya menubuhkan syarikat pemula dengan diberikan bantuan pembiayaan.
“Ketiganya pula ialah program yang bercirikan ekonomi Gig. Program latihan ini mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan melalui aktiviti berbentuk freelancing,” katanya. -UTUSAN