Bayi putus tangan digigit anjing - Utusan Malaysia

Bayi putus tangan digigit anjing

CONTOH anjing Plott Hound yang berasal dari Jerman. - GAMBAR LAMAN SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bayi perem­puan berusia tujuh hari putus tangan kanan dipercayai digigit se­ekor anjing jenis Plott Hound yang dipelihara ahli keluar­ganya di­ Bachang di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, bayi berkenaan dipercayai berada di ruang tamu berdekatan pintu rumah bersama ibu saudaranya bagi tujuan dikenakan cahaya mengurangkan jaundis atau demam kuning.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, bayi itu baru sahaja diberi susu oleh ibunya yang masih berpantang sambil ditemani suami yang berehat di tingkat atas rumah.

“Bayi itu hendak dimandikan oleh ibu saudaranya yang terlebih dahulu meletakkannya se­perti biasa, di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat bagi menjemurnya.

“Wanita itu kemudian telah mening­galkan bayi itu seketika untuk mengambil air panas bagi memandikannya dan sebaik sahaja kembali semula ke arah bayi, dia terkejut melihat tangan kanan bayi tersebut digonggong salah se­ekor anjing peliharaan,” katanya di sini semalam.

Tambah beliau, akibat panik melihat bayi tersebut mena­ngis dengan tangan berlumuran darah, wanita itu telah menjerit sekuat hati sehingga mengejutkan ahli keluarga lain.

Mereka kemudian terus membawa bayi tersebut ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan, namun diminta merujuk ke Hospital Melaka.

“Sebaik sahaja tiba di Hospital Melaka, bayi itu telah dibawa ke zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan pakar.

“Bayi tersebut kini masih menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd. Nor Yhazid berkata, siasatan lanjut mendapati, anjing berkenaan adalah milik suami kepada ibu saudara bayi berkenaan.

“Anjing dipercayai dari baka Plott Hound ini dibiarkan tanpa diikat atau dikurung bagi menjaga kawasan rumah,” katanya.

Carian di Internet mendapati, Plott Hound adalah anjing pemburu bau berasal dari Jerman.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, pemilik lelaki berusia 41 tahun itu didapati melakukan kesalahan kerana memelihara anjing daripada baka yang tidak boleh dilesenkan.

“Ketika kami tiba di lokasi, keadaan agak emosi dan berdasarkan semakan, pemilik haiwan tidak mempunyai rekod pemilikan lesen anjing baka Jerman itu.

“Anjing jantan itu telah dibawa ke pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan pengesahan kuarantin selama dua minggu bagi memastikan tiada gejala Rabies,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya