Tetap semangat sambut merdeka - Utusan Malaysia

Tetap semangat sambut merdeka

Ahmad Ramli memasang Jalur Gemilang sambil diperhatikan anak-anaknya, Nur Afiqah, 10; Muhammad Haziq, 8; dan Nur Khadijah, 6, di rumah mereka di Zon Kenanga, Ambangan Heights, Amanjaya, Sungai Petani, Kedah semalam. – Utusan/Shahir Noordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk di tiga zon di Ambangan Heights, Amanjaya di sini tetap menyam­but Hari Kebangsaan Ke-63 walaupun berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) sejak Jumaat lalu.

Sambutan di rumah masing-ma­sing itu berikutan diarah menjalani kuarantin bagi mengekang penularan Covid-19 Kluster Tawar.

Tiga zon terbabit ialah Zon Kenanga, Melor dan Mawar yang mempunyai jumlah penduduk seramai 22,360 orang.

Salah seorang penduduk, Zamri Mat, 61, berkata, dia tetap bersemangat menyambut Hari Kebangsaan walaupun hanya di rumah bersama cucu-cucunya.

Dia yang merupakan pesara Kementerian Pertahanan berkata, meskipun dikuarantin, semangatnya menyambut hari bersejarah itu tetap membara.

“Saya mengajak cucu bersama-sama memasang Jalur Gemilang di pekarangan rumah sempena memperingati kemerdekaan negara tahun ini,” katanya ketika ditemui di Zon Mawar di sini semalam.

Pesara polis, Ahmad Ramli, 61, dari Zon Kenanga pula berkata, sebagai bekas anggota keselamatan, dia bersemangat menyambut Hari Kebangsaan walaupun sekadar di rumah berikutan perintah kuarantin.

“Kami berbangga Jalur Gemilang yang dipasang di hadapan rumah berkibar megah walaupun tanpa perarakan,” kata­nya.

Sementara itu, seorang remaja, Aishah Ali, 21, dari Zon Melor melahirkan rasa teruja apabila melihat ramai penduduk di kawasan perumahan Ambangan Heights memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing.

“Walaupun sekarang ini kami terlibat dengan Temco, sebagai penduduk di sini, kami tetap bersemangat tinggi menyambut kehadiran hari penuh bersejarah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya