109 masih berdegil ke kelab malam - Utusan Malaysia

109 masih berdegil ke kelab malam

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Walaupun peringatan tegas diberikan dengan lesen perniagaan boleh dibatalkan, namun masih terdapat 109 individu yang degil menghadiri aktiviti di pub dan kelab malam sekali gus menunjukkan masih ada pengusaha premis itu yang tidak gentar dengan arahan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan mengingkari pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu dikesan berdasarkan task force operasi yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan pemeriksaan di 51,809 premis pada 2 September lalu.

Jelasnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bukan sahaja aktiviti di kelab malam malah melibatkan kesalahan gagal memakai pelitup muka dengan 17 individu ditahan dan 41 orang ditangkap kerana hadir ke aktiviti melibatkan orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal

“PDRM telah menahan 198 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 184 individu dikompaun manakala sembilan individu direman dan lima individu lagi dijamin. Seorang individu pula didapati gagal mematuhi arahan kuarantin.

“Masih ada premis yang gagal menyediakan catatan keluar masuk dengan 25 orang ditahan malah dua individu lain disyaki terlibat menjalankan aktviti pelacuran.

Sebanyak 2,704 pasukan pematuhan melibatkan 12,567 anggota membuat pemantauan di 3,386 pasar raya, 4,762 restoran serta 1,411 penjaja, 980 kilang, 3,057 bank dan 599 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,112 terminal pengangkutan darat, 342 terminal pengangkutan air serta 93 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam laporan harian mengenai perkembangan PKPP di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, PDRM berjaya menahan seorang warga asing atas kesalahan imigresen menerusi 63 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 23,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Kata beliau, peringatan tegas sudah diberikan dan kerajaan akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong berkenaan.

“Dari 1 Mei hingga 2 September lalu, seramai 4,889 PATI, 713 tekong serta 246 penyeludup ditahan. Kita juga menahan 446 bot dan 481 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 9,481 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala seramai 12,510 individu didiscaj serta dibenarkan pulang ke rumah.

“Sejak 24 Julai sehingga 2 September lalu, seramai 22,057 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 71 Hotel dan empat institut latihan awam di beberapa negeri di beberapa negeri di semenanjung, Sabah dan Labuan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN