SABAK BERNAM: Kementerian Kesihatan mengerahkan 100 petugas kesihatan dari daerah lain di Kedah untuk membantu proses saringan Covid-19 ke atas 366,787 penduduk di Kota Setar.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, petugas-petugas kesihatan dari negeri-negeri lain juga akan digerakkan ke Kedah bagi membantu mempercepatkan proses saringan tersebut.
“Bagi saringan di kawasan Kota Setar, kita memerlukan tempoh kira-kira seminggu untuk melakukan ujian tersebut. Dalam masa sama, kita juga giat mengesan kontak rapat bagi Kluster Telaga dan Sungai di kawasan Kota Setar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Selangor yang turut dihadiri, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Shaari Ngadiman di sini semalam.
Noor Azmi berharap semua penduduk memberi kerjasama dan hadir ke klinik kesihatan berhampiran untuk menjalani ujian berkenaan.
“Kerja-kerja nyahcemar di premis-premis yang telah dikenal pasti dikunjungi individu positif Covid-19 juga sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Sehingga kelmarin, lebih 11,000 penduduk di 28 mukim daerah Kota Setar telah menjalani saringan Covid-19.
Kos saringan bagi setiap individu dianggarkan antara RM70 dan RM100. – UTUSAN