MELAKA: Seorang warga emas sanggup mengetepikan kehidupan mewah dan tinggal dalam keadaan serba daif biarpun memiliki sebidang tanah bernilai lebih setengah juta ringgit.
Zainab Puteh, 72, berkata, dia sudah puas hidup dalam keadaan serba mencukupi sejak kecil dan sengaja mahu menikmati hidup susah di atas tanah pusaka peninggalan kedua orang tuanya itu sejak 11 tahun lalu.
Adik-beradiknya juga pernah mengajak dia tinggal bersama, namun ditolak kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.
“Nenek sudah puas hidup senang waktu kecil dulu, jadi tak salah rasanya kalau sekarang ini memilih hidup susah barulah boleh merasai nikmat bersyukur.
“Biarlah duduk miskin di sini asalkan nenek boleh jaga tanah pusaka ini. Setiap hari bangun tidur, rasa seronok dapat lihat tanah sendiri yang luas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Cempaka, Pengkalan Rama Pantai di sini semalam.
‘Rumah’ didiami Zainab itu bagaimanapun hanyalah sebuah pondok daif yang sebahagiannya tidak berbumbung serta berdindingkan zink dan kanvas.
Pondok berkenaan terletak hanya kurang tiga kilometer dari pusat bandar Melaka serta bersebelahan dengan sebuah pusat beli-belah terkemuka.
Kata Zainab lagi, sebelum ini ada pihak menawarkan RM100,000 setahun untuk menyewa tanahnya seluas hampir 0.4 hektar itu, bagaimanapun tidak dipersetujuinya.
Difahamkan sebelum ini juga terdapat pembeli yang menawarkan harga jutaan ringgit untuk memajukan tanah terbabit tetapi juga ditolak Zainab.
Tegas warga emas ini, dia tidak akan berpindah dari tanah pusaka Allahyarham bapanya, Puteh Sulong dan ibu, Sonsang Tahir, biarpun perlu melalui hidup dalam keadaan daif. – UTUSAN