REMBAU: Seorang warga emas meninggal dunia di atas sebatang pokok bidara setinggi 30 meter ketika sedang melakukan kerja-kerja penebangan pokok di Kampung Kundur Hilir, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Awaludin Kaman, 68, didapati tidak sedarkan diri di atas pokok dan perkara itu disedari rakannya, Uwish Kurni Mohd Mahfuz, 27.
Menurut Uwish Kurni, ketika kejadian, dia berada di bawah pokok dan secara tiba-tiba terlihat Awaluddin yang dipanggilnya Cik Y, terkulai di celahan dahan pokok.
“Ikutkan sudah lama kami tak bersama-sama menebang pokok, cumanya pagi tadi Cik Y bersungguh-sungguh mengajak saya menemaninya menebang pokok. Ini merupakan pokok bidara ketiga yang dipotongnya hari ini.
“Apabila saya melihat Cik Y tiba-tiba senyap dan terkulai di celahan dahan pokok, saya segera memanjat pokok dan mengikatnya kerana bimbang Cik Y jatuh. Selepas itu, kami meminta pertolongan pihak bomba,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Susulan kejadian, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 3.29 petang selepas menerima panggilan pada pukul 3.13 petang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fuad Majid, pasukannya mengambil masa kira-kira dua jam untuk membawa mangsa turun menggunakan tali penyelamat.
“Sebaik sahaja berjaya diturunkan, pasukan paramedik telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan Awaludin telah pun meninggal dunia,” katanya..
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam mengesahkan kejadian dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN