JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM257,172 akibat diperdaya lelaki yang hanya dikenali menerusi laman media sosial Facebook kira-kira tiga tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, mangsa berusia 68 tahun itu dipercayai menjadi sindiket ‘Love Scam’ oleh suspek berkenaan.
Katanya, suspek bertindak menipu wanita itu dengan mengatakan telah menghantar wang tunai RM3,135,000 bagi tujuan pembelian rumah dan kereta untuk kegunaan mangsa.
“Suspek itu memberitahu mangsa bahawa wang tersebut akan dihantar melalui ejen penghantaran wang antarabangsa.
“Mangsa telah dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp oleh individu menyamar sebagai ejen penghantaran wang dengan meminta mangsa membuat pembayaran RM300,000 sebagai yuran proses kastam.
“Wanita warga emas itu menggunakan duit peninggalan mendiang suaminya selain sanggup meminjam daripada rakan untuk membuat pembayaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Mohd. Salleh lagi, mangsa membuat beberapa kali transaksi pembayaran namun jumlah itu masih tidak lagi mencukupi.
“Dia mula perasan telah ditipu oleh sindiket tersebut apabila suspek masih meminta bayaran yang seterusnya. Dia kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Salleh mengingatkan orang ramai supaya lebih peka dan menyemak dengan polis sebelum melakukan sebarang transaksi yang meragukan. – UTUSAN ONLINE