Wang RM496,000 milik peneroka lesap - Utusan Malaysia

Wang RM496,000 milik peneroka lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Daripada berjumlah RM500,000, kini wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dikeluarkan seorang peneroka di Bentong dekat sini hanya tinggal RM4,000 sahaja. 

Ini disebabkan mangsa berusia 60 tahun terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Pos Laju dan pegawai polis. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 19 Julai lalu, mangsa menerima panggilan telefon dari individu yang menyamar pegawai Pos Laju mendakwanya mempunyai bungkusanl terlibat kesalahan penggubahan wang haram.

Jelasnya, peneroka berkenaan menafikan dan kemudian talian disambungkan kepada anggota polis dikenali sebagai Asisten Superintendan Bakar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang mendakwa boleh menolong mangsa dalam isu tersebut. 

“Kemudian, mangsa menerima mesej dalam aplikasi WhatsApp yang memintanya memindahkan wang dari ASB ke dalam akaun Maybank miliknya. Pada 24 Julai lalu, mangsa membuat pemindahan wang RM500,000 dari akaun ASB ke Maybank. 

“Pada 25 Julai lalu, peneroka itu menerima panggilan telefon yang memintanya meletakkan kad ATM Maybank mangsa dalam pasu bunga depan sebuah kedai di Bentong. Selepas meletakkannya, suspek menghubungi mangsa dan meminta nombor pin kad ATM Maybank dan mangsa menyerahkannya,” katanya di sini hari ini. 

Mohd. Wazir berkata, pada 17 Ogos lalu, mangsa membuat kad ATM Maybank yang baharu dan semakan wang dalam akaunnya mendapati simpanannya berjumlah RM496,000 lesap. 

Ekoran daripada itu katanya, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya