IPOH: Pegawai dan anggota polis yang akan mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Selasa ini diingatkan supaya tidak merakam gambar kertas undi yang telah dipangkah dan menularkannya di laman media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 19 (8), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.
“Perkara itu tidak sepatutnya dilakukan kerana undi itu rahsia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MPV Baharu Honda Civic 1.8 di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan, Sungai Senam di sini semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Ogos ini sebagai hari pengundian awal membabitkan 277 pengundi terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka.
Mengenai PRK Slim, Razarudin berkata, setakat ini kempen berjalan lancar dan tiada laporan melibatkan penyokong pihak yang bertanding.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian semasa, ketiga-tiga calon menjalankan kempen masing-masing dengan baik sekali gus menyaksikan proses PRK tenang.
Katanya, calon bertanding perlu sentiasa mengingatkan penyokong masing-masing agar tidak menimbulkan sebarang provokasi semasa berkempen yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Sehingga kini kita belum menerima sebarang aduan membabitkan tingkah laku atau tindakan provokasi antara para penyokong semasa berkempen.
“Proses berkempen calon-calon berjalan lancar manakala pihak polis pula sentiasa mengawasi soal ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN