KUALA TERENGGANU: Kebanyakan premis perniagaan runcit warga asing di bandar raya ini khususnya di Jalan Syed Hussein berhadapan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini beroperasi secara sah dan memiliki lesen perniagaan.
Setiausaha MBKT, Fadli Yusof Zakaria berkata, siasatan mendapati lesen perniagaan premis itu dimiliki pasangan masing-masing yang merupakan warga tempatan.
Katanya, setakat ini sebanyak tujuh lesen perniagaan didaftarkan pemohon warga tempatan yang melibatkan perkahwinan dengan warga asing.
“Secara amnya tiada masalah untuk mereka menjalankan perniagaan kerana memiliki lesen sah yang dipohon pasangan warga tempatan.
“Tetapi dari segi persepsi masyarakat mungkin menyangka premis yang diuruskan warga asing itu diluluskan pihak berkuasa tempatan sedangkan MBKT tidak pernah meluluskan sebarang lesen kepada warga asing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, Fadli Yusof berkata, pihaknya tetap menjalankan pemantauan terhadap premis-premis berkenaan sekiranya ada di antara mereka yang melanggar syarat pelesenan atau tidak patuh kepada garis panduan ditetapkan.
Katanya, kesemua tujuh premis itu mengusahakan perniagaan sama iaitu barangan runcit dari negara asal mereka.
Sementara itu, katanya, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini sebanyak 14 kompaun dikeluarkan terhadap enam pemilik premis melibatkan kesalahan lesen perniagaan yang disewakan kepada warga asing.
“Kita turut menyita dua premis warga asing yang tidak berlesen di dua lokasi berasingan di Permint Jaya dan di Jalan Syed Hussein di sini,” katanya. – UTUSAN