SEREMBAN: Seramai tujuh bayi dilahirkan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini ketika negara menyambut Hari Kebangsaan Ke-63, hari ini.
Sehingga pukul 11 pagi tadi, HTJ menerima kelahiran masing-masing enam bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.
Bayi pertama dilahirkan seorang suri rumah S. Kavita, 25, dari Nilai pada pukul 1.03 pagi.
Menurut Kavita, dia tidak menyangka melahirkan anaknya pada hari kemerdekaan kerana doktor sebelum ini memaklumkan tarikh dia bersalin adalah pada 5 Oktober.
“Sebenarnya saya tidak menyangka akan melahirkan anak ketiga ini pada hari merdeka. Saya pernah mengharap untuk dapat bayi merdeka untuk anak kedua namun tidak kesampaian.
“Semasa keluar daripada bilik bersalin, semua ucap tahniah kepada saya. Saya gembira kerana akhirnya dapat melahirkan bayi merdeka,” katanya ketika ditemui pemberita di HTJ.
Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Nur Amirah Meslan, 26, berkata, dia amat berharap dapat melahirkan bayinya pada 31 Ogos walaupun doktor memaklumkan bayinya dijangka lahir pada 16 September.
“Suami dan saya selalu bercakap mahu bayi kami lahir pada hari merdeka.
“Alhamdullilah, pada tengah malam mula sakit dan saya dapat bersalin secara normal. Gembira kerana dapat juga saya melahirkan bayi merdeka seberat 3.3 kilogram,” katanya yang memberitahu bayi yang dilahirkan itu merupakan anak ketiganya. – UTUSAN