KUALA LUMPUR – Jenama tudung tempatan, Bawal Exclusive menerima pemberian hadiah berupa tudung daripada syarikat Swarovski bernilai RM100,000.
Tudung dengan tatahan lebih 7,200 batu swarovski pelbagai saiz dan warna itu turut mendapat pengiktirafan tudung termahal di dunia oleh Malaysia Book Of Records.
Pengasas Bawal Exclusive Haliza Maysuri berkata, pemberian itu sebagai tanda persahabatan selepas lebih 20 tahun menceburi perniagaan menggunakan batu berkenaan dalam rekaan tudungnya.
“Saya berasa sangat terharu dan menangis sewaktu menerima tudung ini. Sepatutnya tudung ini diserahkan pada majlis perasmian butik terbaharu kami di Puchong Selangor pada April.
“Tetapi saya bagaikan tidak sabar dan sebab itulah acara ini diadakan hari ini,” katanya pada sidang akhbar majlis itu di sini.
Haliza turut menerima sijil Malaysia Book Of Records yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong.
Turut hadir Ketua Jualan Swarovski Professional Malaysia, Zoe Teo.