SEGAMAT: Tiga orang rentung dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan berhampiran Jalan Genuang-Tenang, Kampung Melayu Raya di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.47 malam itu, semua mangsa maut akibat terperangkap dalam kenderaan yang terbakar.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memaklumkan, identiti tiga mangsa yang maut belum dikenal pasti.
“Dua mangsa rentung dalam kereta jenis Proton Saga manakala seorang lagi dalam kereta Honda Accord,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tujuh mangsa lain termasuk tiga kanak-kanak perempuan di dalam tiga lagi kenderaan terselamat dalam kejadian itu.
Katanya, tiga jentera bomba dengan kekuatan 15 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba menerima panggilan kecemasan.
‘Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE