Tarik semula halwa kundur di pasaran - Utusan Malaysia

Tarik semula halwa kundur di pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan menarik semula produk makanan halwa kundur dari pasaran dengan segera.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia berikutan produk makanan itu dikesan mengandungi sulfur dioksida melebihi had maksimum yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Malah, katanya, Singapura juga bertindak menarik semula halwa kundur yang diimport dari negara ini berikutan risikonya kepada kesihatan selepas kandungan sulfur dioksidanya dikesan melebihi had maksimum ditetapkan dalam Peraturan Makanan Singapura.

“Sulfur dioksida yang tinggi boleh mencetuskan serangan dalam kalangan penghidap asma dengan gejala seperti nafas berbunyi dan sukar bernafas.

“Paras sulfur yang berlebihan dalam makanan juga boleh menimbulkan tindak balas alahan dalam individu yang hipersensitif kepada sulfur dengan gejala seperti kegatalan, sakit perut, cirit-birit dan muntah,” katanya di sini semalam.

Halwa kundur sering digunakan untuk membuat inti makanan tradisional Cina dan Melayu termasuk inti kuih bulan, teh herba dan manisan pencuci mulut seperti barli serta ais kacang.

Menurut Jadual Keenam (Peraturan 20) Akta Makanan 1983, halwa kundur dibenarkan mengandungi 2,000 bahagian persejuta (bps) sulfur dioksida.

Mohideen berkata, berikutan langkah Singapura menarik balik halwa kundur, Kementerian Kesihatan perlu menjalankan kajian bagi menentukan kandungan sebenar sulfur dioksida di dalam produk makanan tersebut.

Katanya, kerajaan juga perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat mengapa isu tersebut tidak dikesan lebih awal, sebaliknya hanya disedari kerajaan Singapura.

“Adalah pelik dalam beberapa isu berkaitan keselamatan makanan sebelum ini, perkara itu disedari oleh negara lain sedangkan produknya adalah hasil keluaran Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya