Suri rumah tertipu beli emas di Facebook - Utusan Malaysia

Suri rumah tertipu beli emas di Facebook

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang suri rumah di sini kerugian RM16,107 selepas membuat bayaran membeli emas daripada peniaga dalam laman sosial Facebook yang disangka saudaranya.

Suri rumah berusia 34 tahun itu melayari Facebook pada 25 Julai lalu dan berminat untuk membeli barang kemas yang diiklankan.

Wanita itu kemudiannya mendapatkan nombor telefon peniaga berkenaan untuk meneruskan urusan jual beli subang, gelang tangan dan rantai. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mendapati nombor telefon peniaga itu sama seperti nombor telefon saudaranya.

“Ketika ingin menyimpan nombor telefon peniaga itu dalam telefon bimbitnya, dia mendapati ia adalah nombor telefon saudara lelakinya. Tanpa sebarang syak, suri rumah itu memasukkan bayaran melalui 12 transaksi ke dalam akaun bank seperti diarahkan suspek,” katanya di sini hari ini. 

Mohd. Wazir berkata, mangsa juga mendapati akaun bank yang diberikan suspek didaftarkan atas nama bapa mentua saudaranya itu.

Beliau menambah, mangsa menyedari tertipu selepas menemui saudaranya itu di Padang Serai, Kedah pada 15 Ogos lalu.

“Saudaranya itu memaklumkan dia sudah lama tidak menggunakan nombor telefon tersebut. Saudara mangsa turut memaklumkan bapa mentuanya tidak memiliki akaun bank,” katanya.

Sejurus menyedari tertipu, mangsa membuat laporan polis di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya