KUALA LUMPUR : Dua pegawai kanan dalam pengurusan tertinggi Tabung Haji dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan penjualan aset badan amanah umat Islam itu.
Menurut sumber, kedua-dua mereka hanya hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira pukul 10 pagi ini bagi membantu siasatan tersebut.
“Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada mereka akan diambil keterangan semula atau ada individu lain akan dipanggil esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, SPRM ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas mengenai perkara itu.
Pada Januari lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat laporan SPRM dan polis mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam keputusan menjual ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantations (THP).
Asyraf Wajdi berkata, pihak berwajib perlu menyiasat dengan segera tindakan pihak terbabit menukar jurunilai yang menyebabkan nilai hartanah TH menyusut daripada RM380 juta kepada RM170 juta. – UTUSAN