SPR harap 85 peratus keluar mengundi - Utusan Malaysia

SPR harap 85 peratus keluar mengundi

ABDUL GHANI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap peratusan pengundi yang akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok meningkat sehingga 85 peratus berbanding 70 peratus jangkaan awal.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, berdasarkan keadaan aman di sepanjang kempen, pihaknya juga berharap keputusan pengundian dapat diketahui sebelum pukul 9 malam.

“Saya harap angka 70 peratus yang dijangka keluar mengundi sebelum ini boleh meningkat sampai 85 peratus esok sebab di sini keadaannya aman, tiada kesesakan trafik.

“Pengundinya juga terdiri daripada masyarakat kampung dan Felda. Saya harap keputusan dapat keluar awal sebelum pukul 9 malam.

“Namun, ia tertakluk pada PDM (Pusat Daerah Mengundi), tak ada kacau ganggu atau bantahan pada waktu itu, semoga PRK ini berjalan sempurna dan cepat dapat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau persediaan untuk hari mengundi PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini hari ini.

Menurut Abdul Ghani, sebanyak 12 pusat mengundi dan 54 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian dengan seramai 689 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.

“Seramai 22,749 orang pengundi akan mengundi esok dan SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya.

Beliau juga berharap pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk membendung Covid-19.

Pengundi turut dinasihati tidak berpusu-pusu di pusat mengundi kerana waktu mengundi pada PRK Slim ditambah setengah jam.

“Dalam PRK sebelum ini, waktu mengundi antara 8 pagi hingga 5 petang tapi di sini daripada 8 pagi hingga 5.30 petang, ada tambahan setengah jam yang telah digazetkan.

“Saya difahamkan ada pengundi yang sudah tahu saluran mengundi masing-masing, jadi mereka boleh terus masuk ke saluran ditetapkan untuk mengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya