Sindiket rokok seludup RM6.1 juta tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket rokok seludup RM6.1 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup susulan penahanan enam lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di Masai, Johor bharu dan Seremban, Negeri Sembilan semalam.

Turut dirampas kira-kira 8.1 juta batang rokok seludup bernilai RM6.1 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek warga tempatan berusia 21 tahun hingga 49 tahun itu dipercayai aktif menyeludup rokok dan mengedarkannya ke seluruh Semenanjung.

Ujarnya, dalam serbuan pertama, lima lelaki berusia 21 tahun hingga 49 tahun ditahan di Masai sebelum menemukan sejumlah 4.1 juta batang rokok bernilai RM3.1 juta selain merampas pelbagai kenderaan bernilai RM3.2 juta.

“Susulan daripada siasatan dan maklumat tambahan yang diperoleh melalui serbuan pertama, satu lagi serbuan dibuat Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas KDNKA di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Seremban, Negeri Sembilan sebelum menahan seorang lelaki berusia 40 tahun.

“Hasil penahanan itu berjaya menemukan sejumlah empat juta barang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Acryl Sani, lima suspek ditahan reman empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan manakala seorang lagi ditahan di IPD Nilai, Negeri Sembilan bagi Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 135(1)(D)&(E) Akta Kastam 1967.

“Salah seorang yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN