KUALA LUMPUR: Tunggakan pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) bernilai RM4.763 bilion akan dilunaskan selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, antara faktor yang menyebabkan pembayaran balik tidak dapat dilakukan adalah maklumat bank yang dikemukakan adalah tidak sah, syarikat gagal memberi maklum balas dan tidak mengemukakan dokumen bagi tujuan verifikasi.
Selain itu, beliau berkata, bermula 22 Jun hingga 8 Julai lepas, kerajaan meluluskan tuntutan bayaran balik GST bernilai RM1.479 bilion.
“Kerajaan menerusi satu pengumuman pada 15 Jun 2020 bersetuju supaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil pendekatan ‘bayar dahulu dan audit kemudian’ bagi syarikat terpilih berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 serta kriteria-kriteria tertentu.
“Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) berkenaan status pembayaran balik GST di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan kononnya hasil GST dirompak kerajaan Barisan Nasional (BN), Mohd. Shahar berkata, kutipan dan pembayaran balik cukai itu adalah dinamik serta melibatkan proses terperinci bagi mengelakkan sebarang ketirisan.
“Kita merujuk kepada Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 15 Julai 2019, tiada wang GST dirompak dan yang kedua, wang tersebut digunakan untuk perbelanjaan pembangunan negara.
“Hasil syor daripada laporan PAC itu juga menyaksikan Kementerian Kewangan dan JKDM sedang menambah baik proses kutipan serta pembayaran balik GST,” katanya. – UTUSAN ONLINE