KOTA TINGGI: Gara-gara tersilap tekan pedal minyak kereta, seorang pemandu wanita merempuh sebuah kedai runcit di Felda Air Tawar 5, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian pada pukul 9 malam itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu wanita tersebut bersama anaknya.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu wanita itu keluar simpang dan sebuah motosikal tiba-tiba melintas di depannya.
“Akibat terkejut, dia tersilap tekan pedal minyak yang disangka pedal brek menyebabkan keretanya merempuh sebuah kedai runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, wanita itu dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN ONLINE