KANGAR: Rejimen Askar Wataniah disarankan terus mempertingkatkan lagi usaha dalam membuat pengambilan anggota sukarela baharu mengikut sasaran yang ditetapkan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain pengambilan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, keutamaan juga perlu diberikan kepada penjawat awam.
“Bagi mencapai hasrat tersebut, promosi, galakan dan pendedahan hendaklah dilaksanakan dengan lebih agresif.
“Selain itu, semua pegawai dan anggota perlu bersama-sama membantu menyebarkan maklumat tepat dan membangkitkan semangat serta mengembalikan anggota sukarela yang telah lama meninggalkan latihan yang dianjurkan oleh pihak rejimen,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan hadir ke majlis Perbarisan Komander Tahun 2020 di Kem Bukit Keteri, Beseri di sini, hari ini.
Pada majlis sama, turut diadakan pembukaan Latihan Teknikal 70 Rejimen Pakar Askar Wataniah (RAJD) 2020.
Yang turut hadir, Panglima Briged Ke-6 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid dan Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Baginda yang juga Tuanku Komander rejimen tersebut turut mengajak semua anggota sama ada pegawai mahupun lain-lain pangkat untuk menjalani setiap latihan dan kursus kepakaran yang bakal melayakkan kenaikan pangkat.
“Pelbagai insentif juga bakal diterima sepanjang menjalani latihan dan kursus seperti elaun, insuran dan pelbagai manfaat lain,” titah baginda lagi. – UTUSAN