Pukul anggota polis, penganggur dihadap ke mahkamah - Utusan Malaysia

Pukul anggota polis, penganggur dihadap ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menendang anggota polis sehingga menyebabkan cedera parah, minggu lalu.

Tertuduh, Saiful Azira Anuar, 28, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Koperal Mohamad Hafiz Abu Bakar dengan cara menendang tulang rusuk mangsa ketika sedang menjalankan tugas sebagai anggota pengawal lokap Balai Polis Melaka Tengah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.30 malam di hadapan sebuah lokap di balai tersebut 9 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan mencabut dan mematahkan papan lantai sel lokap balai polis sama sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM25.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan telah diberhentikan kerja ekoran pandemik Covid-19 dan perlu menanggung tiga orang anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 19 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya