PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan mana-mana penyokong parti politik yang diwakili bakal-bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak hadir ke pusat penamaan calon, Sabtu ini.
Pusat penamaan calon ditetapkan di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak.
Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, semua calon dan parti-parti politik terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.
“Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ikmalrudin, pada hari penamaan calon, kertas penamaan boleh dikemukakan antara pukul 9 sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya.
Beliau memberitahu, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.
“Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK Slim agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian
borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Katanya, bakal-bakal calon juga disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal.
“Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.
“Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” ujarnya.
Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, menurut Ikmalrudin, mereka diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.
Katanya, SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam. – UTUSAN ONLINE