IPOH: Belum ada parti politik atau individu yang membeli borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak setakat hari ini.
Pengarah SPR Perak, Mohd. Nazri Ismail berkata, borang pencalonan untuk PRK Slim mula dijual 23 Julai lalu.
“Borang pencalonan sudah mula jual selepas mesyuarat khas pada 23 Julai lagi namun hingga kini belum ada yang beli lagi,” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp hari ini.
SPR menetapkan hari mengundi PRK Slim pada 29 Ogos ini, penamaan calon 15 Ogos dan pengundian awal 25 Ogos.
UMNO Perak menyenaraikan lapan ahli parti itu yang layak menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Slim.
Calon parti lawan masih belum dapat dipastikan setelah Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran mengumumkan parti itu mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon.
Kem Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan akan meletakkan calon dalam PRK Slim.
PRK Slim diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, 59, yang meninggal dunia pada 15 Julai lalu Hospital Bentong, Pahang akibat serangan jantung.
Khusairi menang kerusi DUN Slim pada PRU-14 selepas menewaskan calon Bersatu, Mohd. Amran Ibrahim dan PAS, Zulfadli Zainal dengan majoriti 2,183 undi. – UTUSAN ONLINE