SEPANG: Sepasukan anggota penguat kuasa menggempur premis perniagaan bitcoin di Bandar Sunsuria di sini kerana didapati membuat sambungan elektrik secara haram.
Operasi bermula sejak pukul 8 pagi itu melibatkan seramai 50 anggota penguat kuasa dari Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Majlis Perbandaran Sepang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Operasi secara bersepadu itu melibatkan empat lokasi dan 26 premis termasuk di Kota Warisan, Taman Saujana dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga, Abdul Rahim Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan tersebut hasil siasatan dan risikan pihaknya yang mendapati premis menjalankan perlombongan mata wang digital itu menggunakan elektrik secara haram hampir setahun.
“Dalam kes ini, kita dapati bekalan elektrik tidak melalui meter sah iaitu penyambungan secara terus berlaku tanpa melalui meter atau mengambil bekalan elektrik terus ke mesin.
“Ini merupakan kali ketiga serbuan dilakukan kerana pada tahun sebelum ini, sudah ada enam kes dan dua kes pada tahun sebelumnya. Daripada lapan kes yang berlaku, kita sudah membuka kertas siasatan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Aktiviti bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam tanpa pengawasan sehingga boleh mengundang risiko berlakunya kebakaran akibat litar pintas.
Kawasan yang mempunyai kegiatan perlombongan matawang bitcoin boleh merosakkan sistem bekalan elektrik sekali gus menjejaskan pengguna lain.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti pemilik premis terbabit dan siasatan lanjut akan dijalankan. – UTUSAN