KLUANG: Sebanyak 19 individu sedang diburu polis daerah ini bagi membantu siasatan membabitkan pelbagai kes jenayah yang berlaku di daerah ini sejak 2016 hingga Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, polis percaya sebahagian individu berkenaan masih berada di negeri ini dan luar Johor.
Kata beliau, enam daripada mereka dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah kekerasan manakala bagi kes jenayah harta benda pula melibatkan lima orang dan bakinya kes perjudian.
“IPD Kluang akan mengeluarkan senarai nama orang dikehendaki dari semasa ke semasa kepada pihak media bagi mengesan, menangkap dan mendakwa mereka yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek-suspek berkenaan boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Mereka boleh juga terus menghubungi pegawai penyiasat kes kes berkenaan atau hubungi talian 07-7784222,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama orang ramai amat dialu-alukan demi menjaga kedaulatan undang-undang negara dan kesejahteraan masyarakat khususnya di Johor dan Malaysia amnya. – UTUSAN