Pimpinan Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Pimpinan Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan penyertaan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

Muhyiddin juga percaya, bahawa langkah tersebut merupakan pilihan terbaik untuk parti itu. 

“Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita. Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah berada di pihak kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Persidangan Srikandi, Angkatan Muda Bersatu (Armada) dan Bahagian Bersatu menerusi Facebook hari ini.

Selain itu, Muhyiddin menambah, hubungan Bersatu dengan parti-parti rakan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional di peringkat akar umbi juga perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, katanya, proses tersebut mungkin mengambil sedikit masa. 

“Tetapi, saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.

“Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti UMNO, Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) dan, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya