TANJUNG MALIM: Perpecahan orang Melayu telah berakhir dengan penyatuan dua parti terbesar kaum itu iaitu UMNO dan Pas.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, impiannya telah tercapai untuk melihat orang Melayu bersatu setelah sekian lama berpecah, terbelah dan berseteru.
Menurutnya, penyatuan tersebut membolehkan orang Melayu tidak dapat dikalahkan lagi biarpun ada cabaran mendatang.
“Saya amat sukacita dan kalau tidak panjang umur kerana ajal maut kita tidak tahu, saya amat gembira dan hasrat melihat orang Melayu bersatu telah tercapai.
“Perpecahan orang Melayu telah pun berakhir dan tidak perlu berpecah, terbelah dan berseteru sangat kerana orang daripada dulu yang kita sambung.
“Bersatulah orang Melayu dan lupakanlah apa yang berlaku serta pandang ke hadapan.
“Ke mana nanti anak cucu bangsa kita dan adakah mereka akan hidup dengan bangga atau dalam negara yang kucar-kacir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Slim) di Felda Besout 4 di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Menteri Besar Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Menurut Mohamad, jika orang Melayu terus berpecah, mereka akan menjadi kumpulan yang kecil yang akhirnya terpaksa bergantung harap dengan orang lain.
“Kita khuatir dengan perpaduan ketika ini, jangan ada anasir yang mengganggu hubungan penyatuan ini,” katanya. – UTUSAN