Perikatan Nasional dalam proses pendaftaran - Utusan Malaysia

Perikatan Nasional dalam proses pendaftaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Desas-desus mengenai pendaftaran rasmi Perikatan Nasional (PN) yang bertiup kencang akhir-akhir ini bukan lagi ‘cakap kosong’ apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan perkara itu hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, permohonan pendaftaran sudahpun dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan beberapa pindaan perlu dilakukan sebelum gabungan itu diluluskan.

“Ya, kita sudah hantar untuk pendaftaran. ROS ada beri beberapa komen, contohnya saya difahamkan singkatan ‘PN’ telah diguna oleh satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain. Jadi, kita kena ubah, disarankan supaya kita letak Parti Perikatan Nasional. 

“Perkara ini melibatkan isu pengurusan dan mereka (ROS) akan beritahu bila ia akan diluluskan,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Sabtu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendukung PN sebagai gabungan besar.

Beliau berkata, keputusan penyertaan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

Sebelum ini, UMNO mengumumkan tidak akan menyertai PN sebagai komponen seandainya ia didaftarkan secara rasmi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas mengenai perkara yang dibangkitkan UMNO itu, Mohd. Redzuan menambah, sebarang keputusan melibatkan untung nasib PN sebagai sebuah gabungan besar parti pemerintah akan diputuskan melalui MN.

“Itu sebab kita kena ada MN untuk ada satu suara. Jadi, kalau MN menyatakan ya, kita akan lakukan (menjadikan PN gabungan rasmi) maka kita akan lakukan.

“Ia semua melalui perbincangan. Kalau yang bersuara dekat luar, itu pendapat masing-masing tidak melambangkan pendapat MN,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya