Penyeludup makin aktif musim PKP - Utusan Malaysia

Penyeludup makin aktif musim PKP

RODZI Abu Hassan menunjukkan barang yang dirampas daripada penyeluduk pada satu sidang media baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia menyebabkan kerajaan menguat kuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Pelaksanaan tersebut bagi memastikan rakyat mengawal pergerakan atau kekal di rumah bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah penyeludup, mereka mengambil kesempatan dalam tempoh tersebut dengan lebih aktif melakukan kerja-kerja menyeludup di kawasan sempadan Malaysia-Thailand khususnya Padang Besar, Chuping dan Kuala Perlis.

Tindakan lebih agresif penyeludup terbabit khususnya dalam tempoh PKP itu, langsung tidak menggentarkan pasukan keselamatan yang mengawal sempadan khususnya Agensi Kawalan

Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis yang berjaya mematahkan banyak cubaan menyeludup.

Untuk rekod, dari Januari sehingga Ogos termasuk dalam tempoh PKP tahun ini, Aksem negeri merampas pelbagai jenis barangan seludup khususnya daum ketum, rokok dan banyak lagi yang dianggarkan bernilai lebih RM9.2 juta membabitkan 269 kes.

Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sebanyak 460 anggota yang bertugas mengawal kawasan sempadan seluruh negeri ini melibatkan kawasan jagaan agensi itu seperti di Padang Besar, Chuping dan Kuala Perlis.

Katanya, meskipun dalam tempoh PKP, aktiviti penyeludupan bertambah agresif khususnya di laluan-`laluan tikus’ kawasan sempadan.

Kebanyakan aktiviti jenayah tersebut melibatkan penyeludupan daun ketum dengan Aksem dan pihak keselamatan sempadan lain berjaya merampas anggaran 400 sehingga 600 kilogram daun terbabit setiap hari.

“Pada Mei lalu, kita berjaya merampas 3.2 tan metrik daun ketum yang diisi di dalam enam kenderaan. Itu tidak termasuk rampasan melibatkan barangan-barangan lain.

“Februari lalu pula, kita juga berjaya merampas rokok seludup bernilai RM2.5 juta selain mematahkan cubaan menyeludup haiwan eksotik ke Thailand.

“Pada musim PKP ini, kebanyakan orang hilang pekerjaan dan segelintir dalam kalangan mereka khususnya penduduk setempat dilihat memilih jalan pintas melakukan aktiviti seludup khususnya daun ketum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Rodzi, pelbagai cabaran dihadapi oleh anggota dalam membendung aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan ini namun situasi tersebut langsung tidak mematahkan semangat mereka menjalankan amanah serta tanggungjawab.

Katanya, sebagai barisan hadapan, mereka juga terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19, namun ia bukan alasan dalam usaha mematahkan aktiviti jenayah rentas sempadan ini.

“Sepanjang berhadapan dengan penyeludup, ada anggota yang dirempuh dengan kenderaan penjenayah terbabit iaitu kejadian di Kuala Perlis dalam tempoh PKP ini.

“Malah, cermin kenderaan kita juga pernah pecah akibat dilontar batu ketika melakukan rondaan.

“Penyeludup ini sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri,” katanya yang mengetuai Aksem Perlis sejak tahun lalu.

Penyeludup agresif mahu bolos sempadan

 

 

Sementara itu, seorang pegawai Aksem, Inspektor Salman Suratman, 33, berkata, penyeludup akan bertindak agresif dan melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Malah katanya, tindakan penyeludup cuba merempuh anggota juga sudah menjadi perkara biasa bagi mereka.

“Pernah ada anggota hampir dilanggar namun sempat mengelak ketika mereka cuba menangkap penjenayah tersebut.

“Lazimnya aktiviti seludup itu berlaku di kawasan lorong-lorong tikus di Ladang Tebu, Chuping sehingga Batu Putih, Kuala Perlis. Biar pun berhadapan cabaran ia tidak mematahkan semangat anggota untuk melaksanakan tugas.

“Penyeludup ini akan cuba selangkah berada di hadapan kita, apabila kita kesan mereka, mereka akan menggunakan taktik lain. Namun kita akan matikan setiap langkah mereka,” katanya yang bertugas di Perlis sejak tiga tahun lalu.

Rakannya, Inspektor Che Azrey Izanney Che Aziz, 36, pula berkata, ancaman yang diterima termasuk pernah ada anggota hampir digilis oleh kenderaan penyeludup menjadi penguat semangat untuk mematahkan sindiket penyeludupan ini.

“Cabaran itu pelbagai kerana penyeludup ini sentiasa mencari ruang melakukan jenayah tersebut. Namun, kita sentiasa memastikan setiap cubaan menyeludup ini dapat dipatahkan,”

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya