KANGAR: Seorang lelaki maut selepas tercampak sejauh 40 meter akibat dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang disyaki mabuk di Jalan Behor Pulai di sini semalam.
Mohd. Shahfiq Muhammad Kabir, 32, penunggang motosikal yang berasal dari Kampung Jejawi, Arau, mengalami cedera parah pada anggota badan.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa dari arah Kampung Behor Pulai melalui jalan berkenaan sebelum bertembung dengan kereta tersebut yang dipandu seorang pemuda berusia 23 tahun dari arah Utan Aji.
Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu suspek hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh mangsa dari hadapan.
“Mangsa tercampak kira-kira 40 meter dari tempat kejadian dan motosikalnya telah diheret suspek sejauh 160 meter sebelum terbabas ke dalam sungai kecil di bahagian bahu jalan,” kata Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew.
Beliau berkata, hasil ujian ke atas pemandu mendapati kandungan alkohol dalam badannya melebihi had dibenarkan.
Pemandu terbabit direman empat hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN