PUTRAJAYA: Empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman seminggu sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan tanpa lesen sekitar Sungai Buloh, Selangor sejak setahun lalu.
Seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh yang disiasat kaitannya dengan pemberian rasuah kepada penguat kuasa MBSA berkenaan turut ditahan reman.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Shah Wira Abdul Halim di sini hari ini.
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) semalam memberitahu, pegawai itu berusia antara 41 hingga 49 tahun dan berkhidmat di cawangan Sungai Buloh serta Shah Alam.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Mereka disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan.
Keempat-empat suspek tersebut ditahan semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Tangkapan kira-kira pukul 9 pagi itu melibatkan tiga pegawai yang bertugas di cawangan Sungai Buloh manakala seorang lagi dari Shah Alam.
Turut ditahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang didedahkan dalam video tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE