KLANG: Tindakan seorang pengedar dadah yang tidak serik melakukan kegiatan haram tersebut membawa padah apabila dia ditahan bersama enam individu lain dalam operasi bersepadu sekitar daerah ini kelmarin.
Suspek berusia 47 tahun berasal dari Pandamaran, dekat sini itu ditahan dalam operasi selama lima jam bermula pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan tujuh peket dadah jenis heroin seberat 111.9 gram dan satu peket syabu dengan berat 12.9 gram.
Katanya, kesemua nilai rampasan dianggarkan RM6,570 selain suspek turut mempunyai dua kes lampau berkaitan pengedaran dadah pada 2017 dan 2019.
“Dalam operasi tersebut, kita menahan dua individu masingmasing merupakan pemandu kereta dan penunggang motosikal dalam keadaan mabuk di Jalan Batu Unjur di sini.
“Kedua-dua mereka mengakui minum arak di rumah kawan dan restoran dalam kuantiti berlebihan sebelum pulang ke rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Shamsul Amar, polis turut menahan seorang pemandu lori yang menunggang motosikal secara berbahaya di Persiaran Raja Muda Musa, di sini.
Selain itu katanya, dua warga Indonesia ditahan selepas semakan mendapati terlibat dalam kes pecah rumah.
Beliau memberitahu, dalam operasi melibatkan 41 anggota dan pegawai yang diketuai beliau sendiri, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 170 kenderaan dan 205 individu.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, kita mengeluarkan sebanyak 32 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Kita turut merampas sebuah motosikal jenis 125z. Kes-kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 45A(1) dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE