Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tipu RM1.55 juta - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tipu RM1.55 juta

NORAINI Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas pertuduhan melakukan penipuan berjumlah RM1.55 juta, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan berjumlah RM1.55 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Noraini Ismail, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa melakukan penipuan terhadap seorang wanita dengan memperdaya mangsa berusia 60 tahun menyerahkan wang berjumlah RM1.55 juta kepadanya bagi tujuan pelaburan di dalam perniagaan pelancongan syarikatnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Seksyen 14, Shah Alam pada Mei 2018.

Jika didapati bersalah, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu
boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurbaizura Mohd. Saubian yang menawarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan syarat tambahan seperti pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap awal bulan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Vinod Sharma memohon ikat jamin terhadap anak guamnya dikurangkan selain pasport tidak perlu diserahkan berikutan pandemik Covid-19.

Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap awal bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 23 September ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN