Pengarah, penguat kuasa MBSA digantung tugas - Utusan Malaysia

Pengarah, penguat kuasa MBSA digantung tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tugasan Pe­ngarah dan anggota Jabatan Pe­nguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) telah pun digantung.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, prosedur itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan SPRM.

Menurutnya, penggantu­ngan tugas itu adalah prosedur biasa bagi penjawat awam yang sedang berdepan dengan mana-mana siasatan.

“Setakat ini tiada rombakan dalaman, cuma tugas mereka yang sedang disiasat akan digantikan pegawai lain untuk sementara waktu.

“Ini adalah prosedur biasa bagi penjawat awam (yang sedang disiasat) dan mereka akan diberikan tugas lain,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Terdahulu, Haris hadir dalam Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh-MBSA, di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Haris sekali lagi menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.

“MBSA tidak akan melindu­ngi pegawai dan kakitangannya yang didapati terbabit dalam sebarang salah laku,” jelasnya.

Semalam, SPRM menahan Pengarah Jabatan Penguat kuasa MBSA bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian.

Sebelum ini, tujuh penguat kuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh turut ditahan SPRM kera­na disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian di sekitar Su­ngai Buloh.

Semua yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut susulan penularan video me­ngenai kegiatan premis perjudian dan rokok seludup sekitar Bandar Baru Sungai Buloh oleh peniaga burger, Asri Janggut atau nama sebenarnya Mohd. Asri Hamid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya